Ramadhan hadir. Bau harumnya menusuk hidung.
Jiwa yang merindu seakan ingin melepaskan air mata. Tidak sangka, Allah memanjangkan umur hingga berjaya menjejak kembali ke dalam bulan yang mulia ini.
Ini adalah ulangan peluang yang diberikan Allah SWT kepada kita. Berapa ramai yang menyambutnya dengan sambutan hangat?
Berapa ramai, yang berazam untuk mendakap Ramadhan kali ini dengan seerat-erat?
Manusia itu pasti mati. Cuma tiada manusia yang tahu dia akan mati bila. Manusia ada harapan. Namun tiada manusia yang tahu apakah harapannya mampu dicapai atau tidak. Apabila harapannya tercapai, pasti seorang manusia akan merasa puas, lega, kerna dia berjaya mencapai harapannya.
Siapa yang ketika Ramadhan lepas meninggalkannya, dia berharap untuk kembali berada di dalam Ramadhan? Siapakah manusia yang ketika Ramadhan lepas meninggalkannya, dia meminta kepada Allah agar umurnya dipanjangkan agar dapat sampai sekali lagi pada Ramadhan?
Siapa?
Maka hari ini, Ramadhan datang kepada anda. Harapan anda tertunai. Tidak kah anda merasa lega? Tidak kah anda merasa puas? Tidakkah anda terasa seperti ingin menangis? Tidakkah anda terasa betapa kasih sayang Allah itu luas dengan memanjangkan umur anda?
Tidak kah anda terasa, hendak mendakap Ramadhan dengan seerat mungkin atas kegembiraan ini? Seperti sahabat yang tercinta pulang bertemu kita semula, itulah Ramadhan. Andai sahabat itu kita dakap dan cium pipinya tanda kasih, bagaimana pula dengan Ramadhan? Siapakah yang bercita-cita untuk mendakap Ramadhan kali ini dengan dakapan yang lebih hangat, lebih erat dari tahun lepas?
Manusia yang menganggap Ramadhan tidak lebih dari bulan-bulan biasa, maka dia tidak akan nampak apa yang saya katakan ini. Namun bagi yang merasai bahawa Ramadhan adalah peluang untuknya mempertingkatkan diri, maka dia akan merasai.
Suka untuk saya ingatkan kepada diri saya dan pembaca.
Besarnya Ramadhan, bukan kerana pahala yang bertimbun menanti kita dalam bulan ini.
Besarnya Ramadhan untuk kita, adalah pengampunan Allah yang dibuka seluas-luasnya dalam bulan ini.
Ada tiga hadith, bermaksud begini:
1. Barangsiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan, penuh keimanan dan berkira-kira(bersungguh-sungguh), maka diampunkan untuknya, segala dosanya yang terdahulu.
2. Barangsiapa yang membangunkan Ramadhan, penuh keimanan dan berkira-kira(bersungguh-sungguh), maka diampunkan untuknya, segala dosanya yang terdahulu.
3. Barangsiapa yang membangunkan Malam Al-Qadr, penuh keimanan dan berkira-kira(bersungguh-sungguh), maka diampunkan untuknya, segala dosanya yang terdahulu.
Lihat, apakah persamaan dalam tiga hadith ini?
Yakni jika kita mengisi Ramadhan itu, dengan puasa yang penuh kesungguhan, dengan ibadah yang penuh keimanan, maka Allah SWT menjanjikan kita keampunan.
Keampunan Allah itu, lebih besar dari pahala. Hal ini kerana, pahala akan menyusut bila kita lakukan dosa. Namun, keampunan itu memadamkan dosa yang lalu, sekaligus menambah kebaikan kepada kita.
Ingatlah bahawa, kita tidak sesekali beramal kerana pahala. Kita beramal untuk mendapat redha dan keampunan Allah SWT. Kita tidak mengira begini:
Pahala Solat Tarawih = 1000
Maka bila kita sudah solat 29 hari Solat Tarawih, kita kata bahawa pahala kita ada = 29000
Kita rasa kita kaya dengan pahala, dan nanti tidak kisah melakukan dosa. Pahala sudah banyak katanya. Mentaliti begini lah yang menyebabkan kebanyakan orang kita, bila berlalunya Ramadhan, dia kembali melakukan dosa. Kenapa? Sebab katanya, di bulan Ramadhan, pahalanya sudah banyak.
Pahala itu datang daripada Allah SWT, apabila Allah redha dengan kita. Jangan kita sangka, bila kita solat, baca Al-Quran, begitu sahaja sudah kita mendapat pahala yang baik. Fikirlah, apakah sesuatu itu jika kita lakukan dengan sambil lewa, apakah ada ganjaran yang baik untuknya?
Maka beribadahlah dengan ikhlas, penuh keimanan dan kesungguhan. Kita perlu sentiasa berharap. Berharap akan redha dan keampunan Allah. Kita mahu dua perkara itu. Ramadhan inilah masanya untuk kita tubi diri kita dalam melatih diri untuk mencari redha dan keampunan Allah SWT.
Bersungguhlah dalam mencari keampunan Allah SWT ini. Hal ini kerana, pada suatu hari, Jibril AS telah datang bertemu Rasulullah SAW dan berkata:
“Wahai Muhammad, barangsiapa yang melalui Ramadhan, tetapi tidak diampunkan dosanya, maka dia dijauhkan dari Allah. Katakanlah amin”
Dan Rasulullah SAW mengaminkannya. Ya Allah… Ini adalah satu kecelakaan. Siapa yang tidak diampunkan di dalam bulan Ramadhan, maka dia dijauhkan daripada Allah SWT.
Kenapa? Kenapa Allah menjauhkan diri-Nya dari orang-orang yang tidak diampunkan-Nya di dalam bulan Ramadhan?
Hal ini kerana, jika manusia keluar dari Ramadhan tanpa diampunkan, ternyata ketika dia melalui Ramadhan, dia tidak bersungguh-sungguh berusaha mendapatkan keampunan Allah SWT.
Bayangkan, Ramadhan yang setiap detik di dalamnya adalah waktu-waktu pembukaan pintu taubat yang seluas-luasnya, berjalan waktu ini sepanjang sebulan, maka tidak diampunkan juga? Sebab itulah siapa yang keluar dari bulan ini, tidak mendapat keampunan walaupun sudah diberi peluang yang besar ini, maka dia celaka. Sememangnya, orang sebegitu adalah celaka, kerana dia tidak menghargai, tidak bersyukur dengan peluang yang Allah sediakan untuknya.
Tidak hairanlah, orang sebegini, Allah SWT menjauhi-Nya/
Maka, saya mengingatkan diri saya dan pembaca semua,
Isilah Ramadhan ini dengan pengisian yang penuh keimanan dan kesungguhan. Jangan kita persiakan.
Dakaplah Ramadhan ini seerat-eratnya. Layanlah Ramadhan ini sebaik-baiknya. Jangan kamu anggap hari-hari dalam bulan ini adalah hari-hari yang biasa. Jangan kamu persiakan umur kamu yang dipanjangkan untuk bertemu dengan bulan ini. Ambil lah segala apa yang Allah sediakan untuk kita dalam bulan ini.
Semoga Allah menumpahkan keampunan-Nya untuk kita dalam bulan yang mulia ini.
Inilah bulan Allah SWT mendekatkan diri-Nya lebih rapat lagi kepada kita. Membuka peluang seluas-luasnya kepada kita. Menumpahkan kasih-sayang-Nya lebih kepada kita. Hal ini tertonjol apabila, Allah SWT menyelitkan firman-Nya:
“Apabila hamba-Ku bertanya kepadamu(Muhammad) berkenaan Aku, maka Sesungguhnya Aku adalah amat dekat” Surah Al-Baqarah ayat 186.
Ayat ini, terletak di tengah-tengah aturan ayat-ayat berkenaan puasa dan bulan Ramadhan yang bermula dari ayat 183 Surah Al-Baqarah:
“ Wahai orang yang beriman, telah difardhukan kepada kamu puasa sebagaimana yang difardhukan ke atas orang-orang sebelum kamu, moga-moga kamu menjadi orang yang bertaqwa”
Hingga ayat 187 Surah Al-Baqarah:
“Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.”
Ini menunjukkan keberkatan, keutamaan Ramadhan dalam kehidupan kita.
Maka, kita harapkan, Ramadhan kali ini mampu menjadi tempat untuk kita mempertingkatkan diri bagi menghadapi 11 bulan selepasnya.
Marilah kita memeluk Ramadhan kali ini dengan seerat-eratnya.
Ya Allah, kurniakan kami rezeki, untuk menghidupkan Ramadhan kali ini dengan ketaatan, penuh keimanan dan kesungguhan. Ya Allah, kurniakan kami rezeki, untuk menggadakan amal kami dalam mencari redha dan keampunanMu. Ya Allah, bantulah kami, sisihkanlah kami dari maksiat, dan perkara-perkara yag melalaikan kami dari mencari rahmat-Mu dalam bulan yang Kau hadiahkan kepada kami ini. Ya Allah, jadikanlah hari-hari kami selepas ini hari-hari yang terbaik. Bantulah kami ya Allah. Sesungguhnya kami hanya mampu beramal jika Kau izinkan.
Wahai pembaca, katakanlah amin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan